BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 23, 2010

Kekotoran Di Pulau Pinang

ISU kekotoran dan pencemaran, di Pulau Pinang bukan perkara baru bagi penduduknya meskipun 'pulau
mutiara' itu sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan negara.
Isu itu telah menarik perhatian pelbagai pihak dan yang terbaru, kerajaan memutuskan untuk menyalurkan
sebanyak RM468 juta bagi membina Loji Sistem Pembentungan dan Rawatan Jelutong sebagai usaha
mengatasi masaalah pembuangan sisa najis dan kumbahan ke laut.
Loji tersebut dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi, maknanya, sementara menunggu waktu itu, sisa
najis dan kumbahan penduduk di bahagian pulau akan terus dibuang ke laut seperti biasa - amalan yang
dilakukan sejak zaman berzaman.
Apabila siap kelak, loji berkenaan dijangka mampu menampung keperluan melupuskan sisa buangan dari
seluruh bandar raya Georgetown.
Ketika banyak orang bercakap mengenai masalah kekotoran dan pencemaran di bahagian pulau, kawasan
Seberang Perai Pulau Pinang juga sebenarnya tidak pernah sunyi daripada menerima tempias ekoran masalah
tersebut.
Ini kerana sebahagian sisa buangan penduduk di bahagian pulau dibawa dengan tongkang menggunakan
jalan laut dari Batu Maung ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung,Jawi,Nibong Tebal di Seberang Perai
Selatan untuk dilupuskan setiap hari.
Disebabkan keadaan itu, Pulau Burung iaitu sebuah kawasan nelayan turut,menghadapi masalah kekotoran
dan pencemaran akibat kewujudan tapak pelupusan tersebut sejak tiga tahun lepas.
Setiap hari tapak pelupusan mengendalikan sekurang-kurangnya 1,300 metrik tan sampah dan sisa buangan
seluruh penduduk Seberang Perai dan bahagian pulau.
Sampah sarap dari sekitar Seberang Perai diangkut menggunakan berpuluh-puluh lori sampah manakala sisa
buangan dari sebelah pulau diangkut ke Pulau Burung menggunakan tongkang-tongkang melalui jalan laut.
Sejak tapak pelupusan itu mula beroperasi, penduduk Pulau Burung yang kebanyakannya adalah nelayan
menganggap mereka menjadi mangsa kepada masalah kekotoran dan pencemaran yang dihadapi negeri itu.
Ini kerana selain bau busuk, sumber pendapatan mereka juga terjejas teruk berikutan kekurangan hasil
tangkapan disebabkan pencemaran air laut yang berpunca dari pusat pelupusan itu. Keadaan itu memberi banyak
kesan negatif kepada penduduk kawasan berkenaan.
Misalnya, Kampung Changkat, Pulau Burung yang suatu ketika terkenal sebagai perkampungan nelayan dengan
pelbagai aktiviti berasaskan perikanan seperti perusahaan membuat belacan dan produk laut yang dikeringkan kini
telah menjadi semakin terpinggir.
Beberapa penduduk kawasan itu ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, aktiviti menangkap ikan
di kawasan itu sudah tidak bermaya lagi disebabkan masalah pencemaran air laut.
"Kini orang lebih kenal kampung kami sebagai tempat buang sampah," katanya seorang penduduk kampung itu,
Dias Shafie, 52, yang juga ahli Persatuan Nelayan Kampung Changkat.
Bagi kira-kira 5,000 penduduk Pulau Burung, mereka bukan sahaja tidak senang dengan kewujudan tapak itu
malahan berasa terganggu dengan cara sampahsarap diangkut menggunakan jalan darat dan laut.
Apa yang menyedihkan, kata Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung
Changkat, Tai Yeow Kheng, ialah rungutan penduduk mengenai masalah itu tidak diendahkan oleh pihak berwajib.
"Tongkang-tongkang yang mengangkut sisa buangan dari Batu Maung sebelah pulau ke tapak itu telah
mencemarkan air laut kerana selalunya sampahsarap dan airnya turut dilepaskan ke laut.
"Sebab itu semakin hari kekotoran semakin teruk dan ikan sudah sangat kurang di kawasan ini dan kami (nelayan)
memang dalam keadaan susah," katanya.

Terjejas

Selain itu, mereka mendakwa pihak pengurusan tapak pelupusan sampah itu melakukan penyelewengan apabila
mengalirkan air sisa buangan ke laut pada waktu malam menyebabkan kualiti air laut terjejas lebih teruk.
Hakikatnya, masalah kekotoran dan pencemaran di negeri ini yang mendapat perhatian media massa sehinggakan
beberapa kempen dilancarkan oleh pelbagai pihak termasuk 'Kempen Selamatkan Pulau Pinang' tidak seharusnya
memencilkan masalah yang dihadapi oleh penduduk Pulau Burung. Ini kerana ia berkait rapat antara satu sama lain.
Bagi kes, Pulau Burung, ramai pihak yang berpendapat hanya kesungguhan politik sahaja yang boleh menyelamatkan
kawasan nelayan itu daripada terus dihantui masalah pencemaran.
Jesteru, langkah membina Sistem Pembetungan dan Rawatan Jelutong dilihat satu petanda baik ke arah mengurangkan
jumlah sampah sarap dan sisa buangan dari bahagian pulau yang dikendalikan oleh Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.
Dengan langkah itu,tongkang-tongkang sampah tidak lagi membawa sisa buangan ke Pulau Burung dan seterusnya
aktiviti penangkapan ikan di sekitar kawasan tersebut tidak akan terganggu lagi.
Apabila itu berlaku, sudah tentu operasi loji itu akan melegakan hati penduduk Pulau Burung meskipun dari segi
geografinya ia terletak jauh dari bandar raya tersebut.
Bagaimanapun, bagi penduduk Pulau Burung, masih timbul beberapa persoalan penting yang antaranya sama ada
masalah pencemaran air di kawasan itu dapat selesai sepenuhnya walaupun loji itu telah beroperasi.
lni kerana kata mereka, selagi tapak pelupusan sampah berkenaan terus mengalirkan air sisa buangan ke laut pada
waktu malam, maka selagi itu masalah pencemaran air laut - yang berkaitan secara langsung dengan sumber pendapatan
dan kesihatan mereka - sukar diatasi.

sumber:UTUSAN MALAYSIA
PAUTAN:http://aplikasi.kpkt.gov.my/akhbar.nsf/8521d968204e8b454825697400224ca6/6bd97456a53222a348256f7000206c5f?OpenDocument

0 comments: