BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 23, 2010

Kekotoran Di Pulau Pinang

ISU kekotoran dan pencemaran, di Pulau Pinang bukan perkara baru bagi penduduknya meskipun 'pulau
mutiara' itu sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan negara.
Isu itu telah menarik perhatian pelbagai pihak dan yang terbaru, kerajaan memutuskan untuk menyalurkan
sebanyak RM468 juta bagi membina Loji Sistem Pembentungan dan Rawatan Jelutong sebagai usaha
mengatasi masaalah pembuangan sisa najis dan kumbahan ke laut.
Loji tersebut dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi, maknanya, sementara menunggu waktu itu, sisa
najis dan kumbahan penduduk di bahagian pulau akan terus dibuang ke laut seperti biasa - amalan yang
dilakukan sejak zaman berzaman.
Apabila siap kelak, loji berkenaan dijangka mampu menampung keperluan melupuskan sisa buangan dari
seluruh bandar raya Georgetown.
Ketika banyak orang bercakap mengenai masalah kekotoran dan pencemaran di bahagian pulau, kawasan
Seberang Perai Pulau Pinang juga sebenarnya tidak pernah sunyi daripada menerima tempias ekoran masalah
tersebut.
Ini kerana sebahagian sisa buangan penduduk di bahagian pulau dibawa dengan tongkang menggunakan
jalan laut dari Batu Maung ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung,Jawi,Nibong Tebal di Seberang Perai
Selatan untuk dilupuskan setiap hari.
Disebabkan keadaan itu, Pulau Burung iaitu sebuah kawasan nelayan turut,menghadapi masalah kekotoran
dan pencemaran akibat kewujudan tapak pelupusan tersebut sejak tiga tahun lepas.
Setiap hari tapak pelupusan mengendalikan sekurang-kurangnya 1,300 metrik tan sampah dan sisa buangan
seluruh penduduk Seberang Perai dan bahagian pulau.
Sampah sarap dari sekitar Seberang Perai diangkut menggunakan berpuluh-puluh lori sampah manakala sisa
buangan dari sebelah pulau diangkut ke Pulau Burung menggunakan tongkang-tongkang melalui jalan laut.
Sejak tapak pelupusan itu mula beroperasi, penduduk Pulau Burung yang kebanyakannya adalah nelayan
menganggap mereka menjadi mangsa kepada masalah kekotoran dan pencemaran yang dihadapi negeri itu.
Ini kerana selain bau busuk, sumber pendapatan mereka juga terjejas teruk berikutan kekurangan hasil
tangkapan disebabkan pencemaran air laut yang berpunca dari pusat pelupusan itu. Keadaan itu memberi banyak
kesan negatif kepada penduduk kawasan berkenaan.
Misalnya, Kampung Changkat, Pulau Burung yang suatu ketika terkenal sebagai perkampungan nelayan dengan
pelbagai aktiviti berasaskan perikanan seperti perusahaan membuat belacan dan produk laut yang dikeringkan kini
telah menjadi semakin terpinggir.
Beberapa penduduk kawasan itu ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, aktiviti menangkap ikan
di kawasan itu sudah tidak bermaya lagi disebabkan masalah pencemaran air laut.
"Kini orang lebih kenal kampung kami sebagai tempat buang sampah," katanya seorang penduduk kampung itu,
Dias Shafie, 52, yang juga ahli Persatuan Nelayan Kampung Changkat.
Bagi kira-kira 5,000 penduduk Pulau Burung, mereka bukan sahaja tidak senang dengan kewujudan tapak itu
malahan berasa terganggu dengan cara sampahsarap diangkut menggunakan jalan darat dan laut.
Apa yang menyedihkan, kata Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung
Changkat, Tai Yeow Kheng, ialah rungutan penduduk mengenai masalah itu tidak diendahkan oleh pihak berwajib.
"Tongkang-tongkang yang mengangkut sisa buangan dari Batu Maung sebelah pulau ke tapak itu telah
mencemarkan air laut kerana selalunya sampahsarap dan airnya turut dilepaskan ke laut.
"Sebab itu semakin hari kekotoran semakin teruk dan ikan sudah sangat kurang di kawasan ini dan kami (nelayan)
memang dalam keadaan susah," katanya.

Terjejas

Selain itu, mereka mendakwa pihak pengurusan tapak pelupusan sampah itu melakukan penyelewengan apabila
mengalirkan air sisa buangan ke laut pada waktu malam menyebabkan kualiti air laut terjejas lebih teruk.
Hakikatnya, masalah kekotoran dan pencemaran di negeri ini yang mendapat perhatian media massa sehinggakan
beberapa kempen dilancarkan oleh pelbagai pihak termasuk 'Kempen Selamatkan Pulau Pinang' tidak seharusnya
memencilkan masalah yang dihadapi oleh penduduk Pulau Burung. Ini kerana ia berkait rapat antara satu sama lain.
Bagi kes, Pulau Burung, ramai pihak yang berpendapat hanya kesungguhan politik sahaja yang boleh menyelamatkan
kawasan nelayan itu daripada terus dihantui masalah pencemaran.
Jesteru, langkah membina Sistem Pembetungan dan Rawatan Jelutong dilihat satu petanda baik ke arah mengurangkan
jumlah sampah sarap dan sisa buangan dari bahagian pulau yang dikendalikan oleh Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.
Dengan langkah itu,tongkang-tongkang sampah tidak lagi membawa sisa buangan ke Pulau Burung dan seterusnya
aktiviti penangkapan ikan di sekitar kawasan tersebut tidak akan terganggu lagi.
Apabila itu berlaku, sudah tentu operasi loji itu akan melegakan hati penduduk Pulau Burung meskipun dari segi
geografinya ia terletak jauh dari bandar raya tersebut.
Bagaimanapun, bagi penduduk Pulau Burung, masih timbul beberapa persoalan penting yang antaranya sama ada
masalah pencemaran air di kawasan itu dapat selesai sepenuhnya walaupun loji itu telah beroperasi.
lni kerana kata mereka, selagi tapak pelupusan sampah berkenaan terus mengalirkan air sisa buangan ke laut pada
waktu malam, maka selagi itu masalah pencemaran air laut - yang berkaitan secara langsung dengan sumber pendapatan
dan kesihatan mereka - sukar diatasi.

sumber:UTUSAN MALAYSIA
PAUTAN:http://aplikasi.kpkt.gov.my/akhbar.nsf/8521d968204e8b454825697400224ca6/6bd97456a53222a348256f7000206c5f?OpenDocument

Memulihara Sungai Tercemar

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my


Kewujudan kilang yang banyak di tebing Sungai Pinang menyebabkan sungai ini tercemar teruk.
________________________________________

SETIAP tahun, penduduk dunia akan menyambut Hari Alam Sekitar pada tarikh 5 Jun. Pilihan tema tahun ini adalah Pelbagai Spesies, Satu Planet, Satu Masa Depan (Many Species, One Planet, One Future). Jika disentuh tentang alam sekitar, pasti tergambar di kotak fikiran kita betapa dunia kini sarat dengan pelbagai jenis masalah dan pencemaran. Selain isu pemanasan global yang tidak henti-henti dibincangkan umum, masalah lain seperti pencemaran sungai, pencabulan hutan, jerebu dan lain-lain turut menjadi perbahasan hangat di merata dunia.
Tidak terkecuali, negara kita juga dilanda aneka bentuk pencemaran yang jika tidak diatasi akan membawa padah kepada seluruh generasi. Antara pencemaran yang begitu menjejaskan alam sekitar di kawasan bandar adalah sungai tercemar.
Satu ketika dahulu, sungai dikaitkan sebagai nadi kehidupan masyarakat terutama pada zaman awal pembukaan penempatan manusia.
Malah, bandar purba dan sebahagian bandar moden hari ini tumbuh dan berkembang di sekitar muara-muara sungai di seluruh dunia. Misalnya, penempatan bandar pertama dunia iaitu Uruk, Erina dan Ur kira-kira 6,000 tahun lalu (4000 SM) di Mesopotamia dan Babylon dibina di lembangan sungai yang subur di Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Manakala banyak bandar-bandar utama di Malaysia hari ini berkembang di kuala-kuala sungai, misalnya Kuala Lumpur, Kuching, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Fakta itu membuktikan kepentingan sungai sudah menyerlah sejak ribuan tahun lalu sebagai sumber yang membekalkan air bagi keperluan harian, pertanian, dan sistem pengangkutan utama.
Namun, kepentingan itu semakin dilupakan apabila sungai-sungai yang pernah menjadi nadi kehidupan manusia 'rosak' dan semakin tenat.
Lihat sahaja betapa Sungai Pinang dan Sungai Juru di Pulau Pinang kekal dalam senarai antara sungai paling tercemar di negara ini.
Tahap pencemaran kedua-dua sungai itu menyebabkan kualiti airnya diletakkan di dalam kelas 4 (tercemar) dan kelas 5 (mati).
Bahan pencemar utama di kedua-dua sungai itu adalah sisa dari kilang-kilang yang banyak terdapat di kedua-dua tebing sungai tersebut.
Akibatnya, kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar sehingga mencecah ratusan juta ringgit untuk memulihkannya.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, lebih 1,000 sungai di seluruh negara dipantau secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar.
Menurutnya, pemantauan dilakukan mengikut hari, tetapi jika sungai tersebut mempunyai loji pembersihan air untuk bekalan air penduduk, maka pemantauan akan dilakukan mengikut jam.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk memulihkan sungai tercemar.
"Jumlah itu memang besar, tetapi sebenarnya ia tidak mencukupi untuk memulihkan pencemaran sungai di seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia.
Pencemaran sungai yang teruk mampu merencatkan pertumbuhan ekonomi negara memandangkan kos pemulihan sungai memakan dana yang besar.
Kos bagi tujuan pemulihan sungai adalah antara RM100 juta hingga RM400 juta.
Adalah lebih baik jika peruntukan yang amat besar itu digunakan untuk tujuan lain khususnya dalam menyediakan kemudahan infrastruktur untuk penduduk.
Mengulas kaedah pemulihan sungai, Dr. Ahmad Zaharin berkata, terdapat tiga kaedah yang digunakan iaitu fizikal, kimia dan biologikal.
Kaedah fizikal memerlukan satu sistem penapis diletakkan di sungai bagi memproses sistem pengudaraan di dalam air sekali gus meningkatkan kualiti air.
Kaedah itu didapati berkesan dalam jangka masa pendek tetapi kurang praktikal untuk jangka masa panjang.
Manakala kaedah kimia melibatkan rawatan kualiti air dengan menggunakan bahan-bahan kimia tertentu.
Dr. Ahmad Zaharin yang menumpukan pada kaedah biologikal berkata, ia menggunakan konsep teknologi hijau.
"Saya telah menjalankan kajian di makmal yang mana saya dapati terdapat mikrob dan bakteria yang telah dikultur mampu merawat air tercemar," ujarnya sambil memberitahu jenis bakteria yang digunakan adalah daripada keluarga basilus.
Menjelaskan kaedah itu, katanya ekstrak yang diambil dari bakteria tersebut akan bertindak sebagai bahan pengumpul (bioflocullant) bahan-bahan terampai di dalam sungai tercemar.
Mengulas mengenai punca utama pencemaran sungai, katanya ia berpunca daripada aktiviti pembangunan tanah dan pelepasan sisa dari kilang. Selain itu, penyumbang lain adalah sisa dari ladang ternakan babi yang mana ia dilepaskan ke dalam sungai sehingga ada sungai yang 'mati' akibatnya.
Sehubungan itu, Dr. Ahmad Zaharin menasihatkan tauke ternakan babi menerima cadangan supaya sistem ternakan berpusat dapat dijalankan di negara ini.
"Memang kos permulaan mahal untuk membangunkan sistem ternakan berpusat seperti di negara maju, tetapi untuk jangka masa panjang, ia lebih baik. Bak kata orang, mencegah lebih baik daripada merawat," katanya yang merujuk pencemaran sungai merupakan antara faktor merebaknya wabak penyakit tertentu.
Beliau yang kesal dengan sikap masyarakat tempatan yang masih tidak berubah dengan menjadikan sungai sebagai 'tong sampah', memberitahu keadaan itu diburukkan lagi dengan masalah penempatan haram pendatang tanpa izin dari Indonesia, India, Sri Lanka dan Bangladesh.
Menurutnya, sikap pendatang tanpa izin termasuk pekerja asing dari negara-negara tersebut yang menjadikan kawasan tebing sungai sebagai penempatan mereka, menjejaskan lagi kualiti air sungai terutama di kawasan bandar.
"Mereka membawa mentaliti dari negara asal iaitu membuang sampah di dalam sungai adalah perkara biasa," ujarnya.
Justeru, pihak berkuasa tempatan perlu membuat pemantauan dan pemeriksaan yang lebih kerap agar penempatan haram di tebing-tebing sungai diruntuhkan demi kesejahteraan sungai kita.

Wednesday, December 22, 2010

Langkah Mengatasi Masalah Alam Sekitar

A.PENGGUNAAN TEKNOLOGI MODEN
Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting.Sebagai contohnya, tanpa teknologi moden, adalah tidak mungkin untuk membersihkan tumpahan minyak di laut.Dengan adanya teknologi moden, sisa pepejal seperti surat khabar lama, majalah lama, kertas, kain, bahan plastik dan kaca dapat dikitar semula. Ini sudah tentu dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna.
Bahan-bahan buangan industri pertanian boleh diubah kepada bahan-bahan yang berguna dan kurang bahaya. Sebagai contoh, sampah sarap boleh dijadikan bahan api untuk menghasilkan tenaga elektrik. Hampas pertanian seperti hampas kelapa sawit boleh digunakan untuk menghasilkan metana.
Selain itu, dengan adanya teknologi moden, penapis udara telah dicipta dan dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian. Penggunaan petrol tanpa plumbum juga merupakan satu hasil daripada penggunaan teknologi moden. Ini dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam atmosfera yang bahaya kepada kesihatan manusia.
Penyelidikan ke atas minyak kelapa sawit sebagai pengganti bahan api fosil adalah satu usaha yang menggalakkan pengurangan pencemaran alam sekitar. Dengan adanya teknologi moden jentera-jentera dan mesin-mesin dapat diubahsuaikan menjadi kurang mencemarkan alam sekitar.

B.PENDIDIKAN ALAM SEKITAR MELALUI KURIKULUM
Tanggungjawab untuk menjamin sebuah negara yang bersih bukan sahaja dipikul oleh kerajaan tetapi patut dipikul oleh semua pihak. Untuk membentuk rakyat yang bertanggungjawab kepada alam sekitar, mereka perlulah mempunyai kesedaran.
Untuk memupuk kesedaran di kalangan rakyat, cara yang terbaik ialah melalui pendidikan. Sebab-sebab pendidikan alam sekitar ini perlu ialah kerana ia dapat membentuk sikap positif diri terhadap alam sekitar. Dengan adanya kesedaran pada seseorang individu, dia akan sedar tentang betapa pentingnya kualiti alam sekitar yang tinggi dikekalkan. Ini kerana mereka sudah tahu apa masalah yang mungkin akan timbul akibat sesuatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab yang mencemarkan alam sekitar.
Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR ) dalam mata pelajaran Alam dan Manusia. Seterusnya adalah pada peringkat menengah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM ), khususnya dalam mata pelajaran sains seperti Biologi. Peringkat ketiga dan terakhir ialah pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran.
Pendidikan alam sekitar kepada masyarakat umum pula disampaikan melalui media massa. Antara media massa yang memainkan peranan yang penting ialah surat khabar, majalah, televisyen dan radio.Selain itu, terdapat juga agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan kempen dan ceramah.

AKTIVITI DAN CADANGAN UNTUK MELINDUNGI ALAM SEKITAR
Memandangkan dunia sekarang sedang diancam bahaya pencemaran, langkah-langkah wajar dan berkesan patut diambil. Langkah untuk melindungi alam sekitar ini bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Ia adalah tanggungjawab semua pihak. Kerajaan patutlah memperketatkan undang-undang yang melindungi alam sekitar.Rondaan oleh pegawai Jabatan Alam Sekitar patut diperbanyakkan.
Para pengusaha terutama pengusaha kilang secara besar-besaran patutlah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar sebelum sesuatu operasi perindustrian dijalankan. Pengguna memainkan peranan yang terpenting dalam menangani masalah pencemaran. Sebagai seorang pengguna yang bertanggungjawab, kita perlulah memilih barangan yang mendatangkan pencemaran yang kurang sekali. Tanpa permintaan terhadap barangan yang mendatangkan pencemaran, pengusaha kilang juga akan mula menggunakan bahan-bahan yang lebih sesuai dengan alam sekitar. Sebagai contoh, kita sepatutnya memilih racun serangga dalam tin aerosol yang tidak mengandungi CFC.
Jika semua pihak ini bekerjasama untuk menangani masalah pencemaran, sudah tentu bumi akan di panjangkan usianya.
Antara aktiviti yang boleh melindungi alam sekitar ialah:
a.Pameran
b.Kempen-kempen
c.Pertandingan
d.Projek Riadah Alam Sekitar


A.PAMERAN PENCEMARAN ALAM
Pameran yang dimaksudkan di sini ialah pameran segala bahan yang berkaitan dengan isu pencemaran. Pameran ini boleh dilakukan di sekolah-sekolah dan juga tempat-tempat awam seperti perpustakaan awam. Pameran ini bolehlah merangkumi isu-isu alam sekitar, sebab-sebab pencemaran, kesan-kesannya dan apa yang boleh dibuat untuk mengurangkan kadar pencemaran.Bahan-bahan menarik seperti carta, polster dan keratan surat khabar bolehlah dipamerkan. Selain itu, pita video dan slaid-slaid yang ada berkenaan dengan pencemaran juga boleh ditayangkan.Pameran sebegini boleh meningkatkan kesedaran dan mengajar masyarakat untuk melindungi alam sekitar.

B.KEMPEN MELINDUNGI ALAM SEKITAR
Menyertai sesuatu kempen untuk melindungi alam sekitar adalah sesuatu yang sihat dan amat digalakkan. Antara kempen-kempen yang melindungi alam sekitar ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya. Kempen-kempen ini dapat memberi kesan yang mendalam terhadap peserta-pesertanya.
Dalam kempen-kempen ini, peserta-peserta akan diajar tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menguruskan sisa buangan supaya hanya mendatangkan pencemaran yang minimum kepada alam sekitar. Selain itu, kempen kitar semula dapat menggalakkan pengguna untuk mengitar semula bahan yang boleh dikitar semula. Secara tidak langsung juga, peserta akan belajar untuk berjimat-cermat.
Sahabat alam telah menjalankan pelbagai aktiviti seperti menanam pokok-pokok bunga, membersihkan kawasan yang kotor dan sebagainya. Penanaman pokok bunga akan mencantikkan pemandangan sesuatu kawasan. Selain itu, ia juga dapat
,menapis debu yang berterbangan di udara. Tumbuhan hijau juga adalah penting untuk mengurangkan kandungan oksigen yang boleh menyebabkan kesan rumah hijau.
Kempen cintai sungai telah menjalankan banyak aktiviti untuk membersihkan kawasan sungai. Selain membersih, mereka juga menanamkan kesedaran kepada penduduk tempatan tentang kepentingan sungai.

C.PERTANDINGAN
Pertandingan seperti kuiz tentang pencemaran alam sekitar boleh meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang pentingnya melindungi alam sekitar.Dengan mengadakan kuiz, peserta akan cuba memahami apakah itu pencemaran. Dalam proses ini, mereka akan mendapat pengetahuan tersebut. Mereka juga mungkin akan mencari penyelesaian kepada masalah pencemaran. Ini sudah tentu akan membawa kebaikan kepada peserta itu dan alam sekitar. Pertandingan melukis poster yang berkaitan pencemaran juga adalah baik. Ia bukan sahaja memberi kesedaran kepada peserta sahaja tetapi mesejnya juga akan sampai kepada orang ramai. Selain pertandingan yang telah disebutkan, pertandingan menulis karangan dan sajak juga dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai.

D.PENDEDAHAN MEDIA MASSA
Pada hari ini media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Oleh itu, dengan adanya pendedahan media massa tentang isu pencemaran, masyarakat umum akan berhati-hati dalam menanggani masalah pencemaran. Setakat ini, media massa yang paling banyak membuat pendedahan tentang isu pencemaran ialah majalah dan surat khabar. Televisyen juga ada membuat pendedahan ini contoh TV3 dan TV7 tetapi adalah terlalu sedikit ditekankan keutamanya.

Monday, December 20, 2010

Kesan Pencemaran

Kesan Pencemaran Air
1 : hidupan akuatik akan pupus
Air yang tercemar oleh pembuangan sampah sarap, pengaliran sisa toksik dari kilang-kilang, dan minyak mentah dari kapal-kapal tangki yang bocor akan menyebabkan hidupan akuatik seperti pelbagai jenis ikan dan udang mati. Jika pencemaran sungai tersebut berlarutan, bukan sahaja pelbagai jenis hidupan air akan terus pupus tetapi juga pelbagai jenis burung atau unggas yang sumber makanannya bergantung kepada hidupan air akan terancam.

2 : tersumbat – banjir
3 : tidak boleh diminum
4 : menjejaskan keindahan persekitaran
5 :Peningkatan kos pembersihan dan bekalan minuman
6 : Kesihatan terganggu (Penyakit-penyakit yang dibawa oleh air)
7 :Gangguan penggunaan kemudahan rekreasi
8 :Penggunaan air bersih terjejas.

Kesan Pencemaran Udara
Pertama sekali adalah Karbon Dioksida. Punca pencemaran utama adalah daripada pembakaran. Selain itu, ia juga terbebas secara semulajadi dari pereputan biologikal dan dibebaskan daripada larutan. Paras kandungan CO2 yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan ialah lebih daripada 400 ppm. Karbon Monoksida pula disebabkan faktor-faktor manusia sendiri melalui pembakaran hidrokarbon yang tidak lengkap seperti asap dari ekzos kenderaan, proses perindustrian dan pembakaran daripada dapur. Gas CO tidak berbau tetapi amat toksik. Antara kesan CO kepada kesihatan adalah pendedahannya pada paras tinggi boleh menyebabkan kematian dalam masa yang singkat(1 % CO dalam udara boleh menyebabkan kematian kepada manusia) dan kesan yang toksik boleh berlaku kepada manusia.

Sulfur Dioksida(S02) pula berpunca dari aktiviti manusia seperti pembakaran arangbatu, pembakaran sulfur dan pembakaran gas. Kesannya, SO2 boleh menyebabkan kesan di bahagian saluran pernafasan terutama kepada mereka yang terdedah kepada SO2 dengan kepekatan tinggi. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada mata dan berkemungkinan menyebabkan kecacatan kepada kandungan ibu. Bagi Nitrogen Oksida(NO) dan Nitrogen Dioksida (NO2) pula, ia hadir di dalam udara daripada aktiviti manusia seperti penggunaan kenderaan bermotor, pembakaran hutan, proses perindustrian dan pembakaran sisa pepejal. Kedua-duanya boleh menyebabkan penyakit pada bahagian dan system pernafasan, kerosakan kepada paru-paru dan sesak nafas dan kesan-kesan sampingan seperti menggalakkan tindakan fotokimia yang menyebabkan pengeluaran elektron dan mengurangkan keupayaan ozone yang mengurangkan sinaran ultraviolet dari sinaran cahaya matahari dan mengakibatkan kesan kepada kulit.

Agen Methane ( CH4) pula terhasil daripada beberapa sebab seperti pembakaran yang tidak lengkap dan pereputan bahan-bahan organik. Antara kesannya terhadap kesihatan adalah boleh menyebabkan kanser jika terdedah pada jangka masa yang lama. Selain itu, reaktif hidrokarbon terhasil daripada ekzos kenderaan bermotor, proses kimia dan semasa kerja-kerja pemindahan hasil petroleum. Kesan reaktif hidrokarbon adalah ia merupakan bahan karsinogenik yang boleh menyebabkan kanser dan mengakibatkan kerosakan pada bahagian otak dan ketumbuhan pada pundi-pundi kencing. Agen akhir sekali adalah Plumbum. Kehadiran Plumbum semulajadi dalam udara berpunca daripada debu silikat, letupan gunung berapi, pembakaran arang dan sampah, serta penggunaan semburan racun perosak yang berleluasa. Kesannya ke atas kesihatan adalah dapat mempengaruhi sistem saraf pusat,menimbulkan tanda-tanda kronik keracunan termasuklah sakit kepala, kehilangan selera makan, anaemia, kelesuan serta imsomnia dan juga keracunan yang akut boleh menyebabkan koma dan akhirnya boleh membawa maut.

Pengenalan

Dalam usaha mengejar kemajuan negara dan meningkatkan taraf hidup penduduk,kegiatan ekonomi dan projek-projek pembangunan sesebuah negara tidak dapat dielakkan manusia sering mengabaikan masalah-masalah alam sekitar yang timbul akibat pelaksanaan aktiviti ekonomi dan projek pembangunan.Kesan-kesan negatif akibat proses pembangunan dan modernisasi secara terburu-buru semakin mendesak dan ini mengakibatkan kesan pencemaran.Kesemua kesan negatif ini semakin menggugat kesihatan manusia,sumber-sumber ekonomi dan kemandirian bumi.Untuk mengurangkan kesan-kesan negatif pembangunan ke atas alam sekitar,setiap aktiviti ekonomi dan pembangunan mestilah diseimbangkan dengan usaha pengurusan dan pemeliharaan alam.
Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai pembuangan benda-benda atau bahan-bahan hasil dari aktiviti manusia ke alam persekitaran menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan.Takrifan Pencemaran yang lebih bermaklumat adalah menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik,kimia,biologi atau aras-aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan,mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan keguanaan-kegunaan berfaedah,yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan,keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain,tumbuhan dan haiwan.Pencemaran dapat dikategorikan dan disenaraikan kepada pelbagai bentuk pencemaran alam:
1.Pencemaran udara
2.Pencemaran air
3.Pencemaran laut
4.Pencemaran bunyi
5.Pencemaran tanah
6.Pencemaran haba
7Pencemaran sungai dan kolam
Konsep Pencemaran sangat bergantung atau bersandar kepada sesuatu nilai atau pengukuran yang telah ditetapkan terhadap sesuatu faktor yang menimbulkan pencemaran itu sendiri.Tanpa nilai ini,konsep pencemaran menjadi kabur.Misalnya,sesuatu sayuran itu menjadi tercemar hanya apabila didapati daripada pengukuran bahawa kandungan sesuatu bahan kimia di dalamnya telah melebihi paras bahaya.Bahan kimia yang berbeza memberikan paras bahaya yang berbeza pula.Ini kesan daripada bahan kimia terhadap makhluk hidup adalah berbeza.
Lazimnya pengukuran bahan kimia di dalam air dan di udara ditentukan dalam unit ppm(bahagian bahan kimia per juta pelarutnya).Begitu juga dengan bahan-bahan pencemar lain diukur dengan unit-unit tertentu.

sumber:http://kudeed.tblog.com/post/1969953506